Kart

Kedai Debut.

Harapan kami tidak sekadar sebagai sebuah kedai gunting rambut semata-mata.

Kami tidak melihat diri kami sebagai sebuah syarikat korporat yang berskala besar. Walaupun sudah bertapak selama empat tahun, namun kami semakin berkembang dengan komposisi pasukan yang begitu kukuh walaupun terdiri daripada 5 orang penggunting rambut dan 3 orang pekerja kreatif di Debut Barber & Shop. Sudah pasti kami mahukan sebuah syarikat yang berkemampuan untuk menandingi di peringkat antarabangsa.

Idea di sebalik rancangan penubuhan Debut Barber & Shop bermula daripada O’oi bersama isterinya, Farah Munirah. Sebagai pengasas bersama, mereka membuat keputusan untuk memulakan langkah kanan pada November 2016. Pada peringkat enam bulan pertama, Debut Barber & Shop hanya beroperasi dengan dua orang penggunting rambut, iaitu O’oi sendiri dan Atid Halim. Untuk mencapai ke satu fasa ke fasa yang lain, setiap pergerakannya kami ambil dengan perlahan-lahan. Sepanjang 4 tahun proses perniagaan ini, beberapa staf datang dan pergi kerana ada yang pergi menyambung pelajaran mereka atau mendapat peluang pekerjaan di tempat lain. Menjelang tahun 2017, secara rasminya syarikat ini mempunyai 5 orang penggunting tetap di samping 5 buah kerusi sebagai tenaga baru buat Debut Barber & Shop.

Dalam masa yang sama, O’oi juga mahukan sebuah kumpulan pengurusan yang kukuh. Ahmad Shaufiq dilantik sebagai penulis kreatif di syarikat ini di samping menguruskan hal ehwal urusan pehubungan umum dan pemasaran media sosial. Setiap hari merupakan kesibukan yang perlu diharungi bagi memastikan kelancaran syarikat berjalan dengan baik.

Selain daripada itu juga, Debut Barber & Shop juga turut terlibat dengan beberapa penganjuran majlis dan beberapa projek kolaborasi.  Titik penting pada tahun 2017 adalah penglibatan kami di dalam majlis ‘Distinguished Gentleman’s Ride’, sebuah majlis tahunan yang berorientasikan kerja-kerja kemasyarakatan yang diadakan pada setiap September, di mana golongan lelaki akan memakai pakaian jenis Dapper dan menaiki motosikal secara konvoi untuk membawa mesej akan kesedaran kanser prostat.

……………………………

Tahun 2018 merupakan tahun yang mencabar buat Debut Barber & Shop. Ianya mengenai kelestarian, membina jaringan perhubungan serta merangka inisiatif dalam meletakkan nama Debut Barber & Shop di mata umum. Menjadi resmi padi bagi sesebuah organisasi syarikat untuk menganalisis apakah yang bakal terjadi di masa hadapan serta persediaan kami dalam mengharungi perjalanan perkembangan dalam pada masa yang sama.

Apabila menginjak dari tahun ke tahun, Debut Barber & Shop tidak lagi menjadi sekadar sebuah kedai gunting rambut, malah perubahan itu bermula ke arah proses fasa pengkorporatan. Ianya bermula apabila kami mula membawa beberapa produk luar untuk dijual di kedai selain daripada menyediakan perkhidmatan yang biasa kami berikan. Ini merupakan sebahagian daripada proses untuk mula melangkah ke suatu fasa yang lebih serius di dalam lapangan perniagaan di samping, menjadi persediaan sebelum kami mula menghasilkan dan menjual produk dengan jenama kami sendiri.

Dalam proses 3 bulan program perantis yang dijalankan, ianya bukan sekadar membentuk sebagai seorang tukang gunting rambut, bahkan perkara lebih penting adalah bagaimana pengolahan dan adaptasi dalam cara kerja serta gaya hidup di Debut Barber & Shop. Kebanyakan ahli perantis kami dilatih oleh O’oi di samping bekerja separuh masa di kedai kami.

Pembentukan acuan budaya dalam kalangan ahli Debut Barber & Shop sendiri bukan hanya semata-mata sebagai seorang pekerja, malah ianya lebih kepada pembentukan sifat keserasian itu supaya setiap pekerja itu saling memahami. Bagi kami, komunikasi itu perkara tunjang dalam membentuk kesefahaman dan keserasian itu. Soal kualiti dalam cara kerja pada kami amat penting, namun untuk membentuk sebuah organisasi yang mantap dengan persekitaran tempat kerja yang baik, persefahaman itu adalah tunjang kepada segala-galanya.

…………………………..

Pada November 2018 pula, kami menyambut ulang tahun yang kedua dengan menganjurkan acara ‘Evening Affair’ di mana, ianya merupakan sebuah kolaborasi bersama jenama pakaian tempatan terkenal, Abstrax St. di bawah kelolaan Peoplesiris. Ketika itu, O’oi selaku pemilik Debut Barber & Shop bersama Fahmi yang merupakan pengasas Abstrax st., telah memberikan ucapan yang berdinamik mengenai perjalanan mereka dalam membangunkan jenama mereka sendiri.

Pada November tahun 2018, kami berjaya membuka cawangan kedua di luar pekan Ipoh yang dikenali sebagai Debut Meru. Ianya terletak di kawasan Bandar Meru Raya. Kami amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menjalankan perniagaan di situ dan apa yang cuma perlu dilakukan oleh kami adalah melakukan sedikit kerja-kerja hiasan dalaman agar ianya kelihatan dengan lebih baik. Namun, apabila berlakunya penularan COVID-19, sekali gus telah memberikan impak besar kepada ekonomi nasional dan Debut Barber & Shop terpaksa menutup premis di cawangan Meru pada September 2020 dan seterusnya memberi fokus utama kepada cawangan utama di Debut Midtown.

Setiap perniagaan mempunyai perkembangan fasa yang tersendiri. Dari fasa pertama hingga tiga, pelanggan kami hanya berada di dalam lingkungan ahli keluarga dan rakan-rakan sahaja. Kemudian, ia berkembang daripada rakan-rakan menjadi pelanggan tetap dan seterusnya secara tidak langsung menjadi perniagaan secara formal dengan pelanggan keluar masuk dari luar dan dalam kedai.

Bagi tahun ketiga pada kali ini, kami telah membangunkan laman sesawang Debut and Barber Shop bagi melonjakkan pasaran kami di peringkat global. Pada hemat kami, Debut Barber & Shop perlu menghebahkan perkhidmatan yang disediakan di premis ke peringkat global.

Di Midtown, para pelanggan kami bukan sahaja terdiri daripada orang tempatan, bahkan ada juga yang terdiri daripada Jepun, Jerman, Poland dan Sweden serta ada di antara mereka yang kerap datang menekan loceng untuk mendapatkan perkhidmatan kami. Oleh yang demikian, aplikasi media sosial merupakan suatu perkara penting dalam menghubungkan perniagaan kami dengan pelbagai lapisan golongan masyarakat, secara tidak langsung mudah untuk dicari melalui enjin carian Google.

 

Jurnal Artis

Adam Jalaludin

photographer

Adam Jalaludin merupakan pengasas dan pemilik syarikat jenama pakaian PeaceBeUponYou. Kerjasama bersama Debut Barber & Shop, beliau bertindak sebagai jurugambar dan pereka grafik bagi seksyen pemasaran syarikat kami. Perbincangan kami terhadap konsep pada awalnya lebih menitikberatkan idea minimalisme dengan adunan tona warna hitam putih, selari dengan identiti estetika mereka sebagai pereka grafik dan jurugambar.

Megat Zulfadhli

photographer

Untuk 2 tahun pertama, Megat Zulfadhli merupakan individu di balik tabir bagi kerja-kerja pengiklanan Debut. Beliau merupakan antara rakan rapat O’oi serta mempunyai daya kerja unik dalam penghasilan fotografi dan perekaan grafik. Beliau juga merupakan antara individu yang membawa Debut Barber & Shop mula cenderung ke arah pemasaran secara video visual. Kami melihat syarikat ini berdasarkan gaya mutu kerjanya.

Airil Ezuan

photographer

Beliau merupakan jurugambar pada tahun ketiga penubuhan syarikat ini. Cekap dalam mereka inovasi idea dan berkemahiran dalam komposisi warna apabila melibatkan hal ehwal fesyen dan fotografi jalanan. Corak kerjanya itu sangat bertepatan dengan identiti syarikat dan baik dari segi interaksi awam dengan pihak syarikat.

Hammad Zarif

photographer

Zhaf merupakan jurugambar Debut Barber & Shop bagi tahun 2020. Seorang yang amat beretika apabila berbicara mengenai aspek artistic, berfikiran kreatif dan berani dalam melakukan invosi kerja. Lulusan dalam bidang Kejuruteraan Awam daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP), beliau amat meminati dalam soal pemeliharaan alam sekitar dan fotografi filem. Debut Barber & Shop mengambil pendekatan bersama beliau dalam mengorak langkah perspektif visual yang berlainan dengan pelbagai individu. Kami tidak pernah terfikir untuk menggunakan filem fotografi sebagai sebahagian kaedah pengiklanan jika tidak kerana inisiatif beliau itu.